fbpx

KPDNHEP serbu premis seleweng minyak masak subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Angggota penguatkuasa KPDNHEP memeriksa minyak masak subsidi yang diseleweng.
PUTRAJAYA – Demi mencari keuntungan lumayan, satu sindiket dikesan memindahkan minyak masak subsidi ke dalam bekas minyak masak industri sebelum dipasarkan.
Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar hasil serbuan sepasukan sembilan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Ibu Pejabat Putrajaya, pada Isnin lalu.
Serbuan itu dilakukan ke atas sebuah stor industri di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, stor berkenaan dikenalpasti sebagai tempat untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket satu kilogram (kg) untuk dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri.
Beliau berkata, ketika serbuan, pihaknya  menemui 6,919 bungkus satu kg minyak masak membabitkan dua jenama yang terdapat di pasaran dan 13 unit tangki fiber yang berisi minyak masak anggaran 1000 liter setiap satu.
“Sisa plastik minyak masak bersubsidi paket satu kg yang telah dikoyakkan dan peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki fiber industri turut disita.
“Jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM 58,212.50,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, pihaknya turut menahan tujuh pekerja lelaki warga asing berumur 18 hingga 25 tahun yang berada di premis kejadian selain seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang bertanggungjawab terhadap aktiviti di premis tersebut itu.
Iskandar berkata, hasil risikan mendapati sindiket beroperasi dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket satu kg daripada pemborong berlesen.
Menurutnya, minyak masak bersubsidi paket satu kg ini seterusnya akan dileraikan dan dikumpulkan di dalam satu tangki fiber yang berkapasiti 1000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi yang memberikan keuntungan yang tinggi.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah melibatkan urusan secara borong atau runcit barang kawalan iaitu minyak masak tanpa lesen sah,” katanya.
Katanya, susulan serbuan itu, pihaknya turut menyerbu sebuah premis perniagaan di Pulau Indah Industrial Park, Pulau Indah, Selangor dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket pemilikan minyak masak bersubsidi di stor pemindahan minyak masak tersebut.
Jelasnya lagi, dokumen-dokumen bukti bagi pembelian serta pembekalan dan buku stok barang kawalan oleh perniagaan ini disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961, mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Manakala, bagi Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961 pula, syarikat atau pertubuhan berbadanan yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta,” katanya.
Katanya, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam aktiviti seperti ini dan akan mengambil tindakan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian. – K! ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN