fbpx

100 buruh tinggal sehelai sepinggang, duit gaji hangus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN bomba melakukan operasi pemadaman kebakaran melibatkan rumah kongsi pekerja warga asing berhampiran Taman Bertam Impian, Melaka, hari ini.

MELAKA – Kira-kira 100 buruh warga asing tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kongsi didiami mereka di tapak projek perumahan berhampiran Taman Bertam Impian di sini terbakar, lewat petang tadi.

Menurut salah seorang mangsa, Herman, 46, kejadian berlaku kira-kira 6.10 petang ketika semua pekerja sedang melakukan kerja-kerja binaan.

Katanya, kebakaran hanya disedari selepas terdengar bunyi kuat letupan, namun api dikatakan merebak dengan sangat cepat sehingga para pekerja tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk wang simpanan masing-masing.

“Masa itu kami semua sedang bekerja kira-kira 100 meter daripada rumah kongsi tersebut sebelum terdengar bunyi kuat letupan dan melihat api telahpun marak.

“Kami berlari cuba menyelamatkan barang termasuk pasport dan wang tunai tetapi tidak sempat, duit simpanan saya bersama isteri yang menjadi tukang masak di sini berjumlah lebih RM5,000 juga hangus,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Tambahnya, wang tersebut merupakan hasil gaji yang dikumpul selama lebih dua bulan dan sepatutnya dihantar ke Madura, Indonesia bagi perbelanjaan anak tunggalnya yang kini berusia 17 tahun.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Penguasa Bomba Kanan II, Mohamed Azuani Mat Yusuf berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.14 petang.

Ujarnya, seramai 14 anggota daripada BBP Tangga Batu, Cheng serta Ayer Keroh telah dikejarkan ke lokasi bersama-sama tiga jentera dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.31 malam tadi.

“Setiba di lokasi kita dapati rumah kongsi berkeluasan 3,962 meter persegi yang didiami kira-kira 100 buruh warga asing telah terbakar sebanyak 95 peratus.

“Kami berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan sumber air dan terpaksa berulang alik kira-kira satu kilometer demi mendapatkan bekalan, sehingga kini operasi pemadaman bara api masih dilakukan,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI