PETALING JAYA – Datuk Lee Chong Wei bertindak menenangkan pemain beregu wanita negara, Pearly Tan yang dilihat mengalirkan air mata selepas tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.
Menerusi video dikongsikan Facebook rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kelihatan legenda badminton tanah air itu menenangkan Pearly dengan kapsyen ‘truly heartwarming scene’ (adegan yang sungguh menyentuh hati).
Ia turut menerima kata-kata semangat daripada orang ramai susulan kekalahan Pearly dan pasangan beregunya, M. Thinaah sewaktu perlawanan dengan wakil Korea Selatan, Baek H Na-Lee So Hee.
“Adat dalam pertandingan akan ada kalah dan ada yang menang. Anda kalah bermaruah dengan berlawan bersungguh-sungguh. Saya tengok ‘game’ anda, sangat bangga dengan anda berdua. Moga kejayaan milik anda pada kejohanan akan datang,” komen Razali Manah.
“Tahniah Pearly dan Thinnah. Kamu berdua tetap di hati rakyat Malaysia. Tak mengapa, rehatlah jangan sedih. Ada banyak lagi perlawanan akan datang,” kata Wendy Tra.
“Walaupun kalah, tapi kalah bermaruah. Kamu tetap pemenang dan juara pada ‘game’ ini. Teruskan semangat pada kejohanan akan datang,” ujar Santa Lurviena.
Semalam Kosmo! melaporkan, pada perlawanan tersebut, beregu yang menghuni ranking ke-11 dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan 20-22, 21-8, 17-21 kepada wakil Korea Selatan dalam aksi yang memakan masa 1 jam 41 minit.
Meskipun tewas, Pearly-Thinaah wajar diberikan pujian apabila berjuang mati-matian sepanjang perlawanan itu dengan memberikan tentangan sengit kepada pemain lawan yang berada di ranking keenam dunia. – KOSMO! ONLINE