PERSATUAN Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) akan menyegerakan tindakan susulan untuk menyelesaikan isu berbangkit berkaitan pemotongan gaji yang dihadapi pemain-pemain Kelantan.
Eksekutif Undang-Undang PFAM, Syafiq Jebat berkata, pihaknya memiliki prosedur untuk cuba memastikan isu berbangkit dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang bola sepak.
“Secara umum, masalah ini timbul sebab isu kontrak, benda-benda ini saya tidak katakan rumit tetapi ada masalah yang boleh dikatakan ada pelanggaran dalam kontrak. Isu kontrak kita ada prosedur yang boleh kita ambil untuk langkah seterusnya.
“Kita boleh buat sedemikian (bertemu atau menghantar surat kepada Kelantan FC) cuma kita terima laporan, kita proses apa sepatutnya. Tidak ada masalah untuk bincang cuma paling penting sekarang kita jaga pemain.
“Kita mahu dapatkan penyelesaian terbaik untuk pemain,” katanya ketika pertemuan dengan dua pemain Kelantan, Farhan Abu Bakar dan Afzar Akbar semalam.
Kelmarin, peminat bola sepak tempatan digemparkan dengan pendedahan dibuat Farhan menerusi IG Story miliknya yang mendakwa gajinya dipotong dan isu kewangan mengakibatkan keretanya ditarik oleh pihak bank.
Mengulas lanjut, Syafiq menjelaskan apa juga tindakan adalah berlandasan saluran bola sepak dan bakal membabitkan pemegang taruh seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta kelab terlibat.