HARARE, ZIMBABWE – Akibat tidak menyukai makanan yang dimasak, seorang suami di Zimbabwe maut bergelut dengan isterinya semasa mereka bertengkar, lapor portal berita iHarare semalam.
Nozizwe Mpengesi dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh suaminya, Wilson Muchimwe.
Menurut akhbar The Herald, kejadian berlaku selepas Muchimwe pulang ke rumah dan mendapati isterinya memasak hidangan sayur, dan bukannya daging untuk makan malam.
Keadaan itu menyebabkan lelaki itu berang dan mereka pun bertengkar.
Ketika cuba mempertahankan diri, Mpengesi dilaporkan melawan dan menolak Muchimwe yang hilang keseimbangan lalu terjatuh ke atas batu konkrit.
Kepala mangsa cedera dan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Takut dengan situasi itu, Mpengesi membuat laporan palsu kepada polis. Dia mendakwa bahawa suaminya dibelasah oleh kumpulan penyerang di sebuah bar.
Namun, selepas siasatan dilakukan dan berdasarkan rakaman video, polis mendapati wanita itu berbohong.
Mayat Muchimwe dilaporkan berada di bilik mayat sebuah hospital di Chitungwiza untuk bedah siasat manakala mahkamah menahan reman Mpengesi dan menasihatinya agar memohon ikat jamin di Mahkamah Tinggi. – Agensi