PUTRAJAYA – Penolong akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang ditahan berkait kes pecah amanah berjumlah RM24.8 juta Sabtu lalu dipercayai berselindung disebalik identiti sembilan individu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyifatkan ia satu perbuatan licik oleh suspek lebih-lebih lagi dilakukan untuk satu tempoh lama iaitu sejak lapan tahun lalu.
“Saya sudah mengambil tindakan tegas dan saya tidak akan pernah berkompromi kerana ini adalah wang cukai rakyat sebaliknya digunakan suspek bagi kepentingan peribadi.
“Saya dimaklumkan, tangkapan telah dibuat selain telah mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian mengambil tindakan perundangan dengan segera,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual di sini, hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, suspek akan dikenakan tindakan berdasarkan tata kelola sedia ada oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuklah digantung tugas. – KOSMO! ONLINE