fbpx

Warga emas Orang Asli sakit diusung naik helikopter ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alang diusung menaiki helikopter untuk dibawa ke Hospital Gua Musang bagi menjalani rawatan lanjut hari ini.

GUA MUSANG – Seorang warga emas Orang Asli dari Pos Balar di sini dibawa ke Hospital Gua Musang menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk rawatan lanjut hari ini.

Alang Busu, 84, yang turut mengalami bengkak pada bahagian pinggang selain tidak dapat membuang air kecil dan besar terpaksa diusung untuk menaiki helikopter selepas tidak mampu berjalan.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman berkata, penerbangan itu berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah pada pukul 10.20 pagi.

Katanya, penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) menggunakan helikopter jenis Agusta Westland (AW189) selamat tiba di Pos Balar pada pukul 11.30 pagi.

“Pesakit tidak boleh makan dan minum. Selain itu, pesakit juga perlu dibawa menggunakan pengusung kerana tidak dapat berjalan dan duduk.

“Pesakit bersama seorang pengiring tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 11.55 pagi sebelum menyerahkan pesakit kepada petugas Kementerian Kesihatan yang sedia menunggu untuk membawa pesakit ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Hasrizal memberitahu, penerbangan itu turut disertai oleh lima lagi anggota.

Katanya, pengangkutan helikopter terpaksa digunakan kerana dapat menjimatkan masa berbanding pesakit dibawa menggunakan laluan darat melalui jalan balak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI