GEORGE TOWN – Polis mengklasifikasikan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Taman Perda, Penaga di Seberang Perai Utara (SPU) dekat sini yang dijumpai selepas hampir 24 jam hilang pada Jumaat lalu sebagai orang hilang.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, bagaimanapun siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya terdapat perbuatan jenayah berlaku ke atas kanak-kanak tersebut.
“Ketika ditemui, terdapat kecederaan pada badan kanak-kanak itu namun ia tidak menjurus kepada unsur jenayah.
“Dia masih dalam keadaan trauma dan lemah, dia juga masih dirawat di hospital,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sabtu lalu, mangsa dijumpai orang awam di sebuah bangsal di tepi jalan Permatang Keriang, Penaga, kira-kira 2.4 kilometer dari lokasi kediamannya di Desa Kuala Muda, dekat sini pukul 6 petang.
Siasatan awal polis mendapati, kanak-kanak itu keluar dari rumahnya untuk bermain kira-kira pukul 1.30 tengah hari namun tidak pulang ke rumah sehingga pukul 5 petang sebelum operasi mencari digerakkan dengan bantuan ahli keluarga serta penduduk kampung berkenaan. – KOSMO! ONLINE