fbpx

Peniaga didenda RM120,000 miliki diesel tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lim Soon Ping diiringi pegawai KPDN dan dikenakan denda sebanyak RM120,000 selepas mengaku bersalah memiliki 28,000 minyak diesel tanpa lesen.

SUNGAI PETANI – Seorang peniaga didenda RM120,000 setelah mengaku salah atas kesalahan memiliki 28,000 liter minyak diesel bersubsidi manakala tiga lagi pekerjanya terdiri daripada lelaki warga Myanmar mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Lim Soon Ping, 41, bakal dikenakan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal menjelaskan denda selepas membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 1, Roslan Hamid dengan dibantu jurubahasa dalam bahasa Hokkien.

Manakala tiga pekerjanya Win Ko Ning, Tan Win Htun dan Mg Win Thien yang kesemuanya tiada pengenalan diri dan memahami bahasa Hokkien, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka berempat dituduh secara bersama memiliki minyak diesel sebanyak 4,000 liter di dalam sebuah lori tangki bernombor pendaftaran PFF 622 dan 24,000 liter minyak diesel di dalam sebuah lagi lori tangki yang bernombor pendaftaran AMB 1053 tanpa lesen yang sah
untuk diniagakan secara runcit atau borong.

Kesalahan memiliki barang berjadual itu didakwa dilakukan mereka di sebuah premis tanpa nama di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang dekat sini pada 1.20 pagi, 10 April lalu dan melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mengikut fakta kes, kesemua mereka ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya selepas menemui sejumlah minyak diesel di dalam dua lori jenis Hino di lokasi berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati, tiada sebarang rekod permohonan lesen borong atau runcit bahan berjadual itu atas nama tertuduh.

Semakan ke atas rekod pemilikan lesen atau permit dengan Bahagian Perdagangan Dalam Negeri juga menunjukkan bahawa tempat kejadian sememangnya tiada lesen dan disyaki sebagai stor haram.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Muhamad Sabiq Muhamad Nizam Amir sementara kesemua tertuduh tidak tidak diwakili peguam.

Hakim Roslan turut memerintahkan, dua lori tangki bersama minyak diesel bernilai RM60,200 didalamnya dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.

Roslan turut menetapkan 5 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula untuk tiga warga Myanmar berkenaan dan memerintahkan mereka ditahan di Penjara Alor Setar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI