fbpx

Piala FA: JDT melangkah bergaya ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN pertahanan JDT, Jordi Amat diraikan rakan sepasukan apabila menjaringkan gol pada perlawanan suku akhir Piala FA menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pusingan separuh akhir Piala FA dengan bergaya setelah berpesta gol 5-0 menjinakkan Harimau Kumbang pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

JDT yang menggunakan formasi 4-4-2 merehatkan beberapa pemain utama seperti Bergson Da Silva, Leandro Velazquez, Afiq Fazail dan Nathaniel Shio Hong Wan dengan menurunkan Diogo Luis Santo, Natxo Insa, Endrick Dos Santos dan Juan Muniz.

Beraksi di gelanggang keramat JDT, pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid dilihat tidak sekadar bermain bertahan sebaliknya mencari ruang untuk melancarkan serangan balas.

Skuad Harimau Kumbang berpeluang melancarkan serangan ke arah lawan pada awal permainan menerusi percubaan Adriano Narcizo dan Nik Akif Syahiran Nik Mat namun percubaan itu tidak tepat ke arah pintu gol lawan.

Pada minit ke-16, giliran JDT menguji kecekapan penjaga gol lawan menerusi percubaan berganda oleh Juan Muniz dan Fernando Forestieri namun berjaya diselamatkan oleh Azfar Arif Sukri.

Skuad bimbingan Esteban Solari itu kemudiannya bertali arus merencanakan gerakan untuk memburu gol pembukaan dan akhirnya, gawang utuh Penang FC runtuh pada minit ke-32.

Tandukan yang dilakukan Forestieri yang terbias setelah menggegar palang itu cuba dikeluarkan oleh Ousmane Fane namun tertampan ke gawang sendiri setelah dicabar oleh Luis Santo.

Enam minit berselang, gawang Harimau Kumbang bolos lagi, kali ini menerusi jaringan voli pemain pertahanan, Jordi Amat dari jarak dekat yang mẹmbuatkan Azfar Arif tidak mampu berbuat apa-apa.

Gol yang dijaringkan pada minit ke-38 itu adalah gol pertama buat pemain pertahanan Indonesia yang memanfaatkan hantaran pertahanan tengah, Shane Lowry.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan yang terus buas melancarkan serangan ke kubu lawan dihadiahkan sepakan penalti setelah rembatan Muniz terkena tangan pemain pertahanan, Khairul Akmal Rokisham.

Arif Aiman Hanapi yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan penalti itu tidak berdepan tugas sukar untuk menyempurnakan sepakan itu meledakkan JDT di kedudukan yang selesa pada minit ke-49.

Pada minit ke-58, Corbin Ong menambah derita buat pasukan pelawat apabila meledak gol keempat perlawanan memanfaatkan umpanan Muniz dengan melepaskan rembatan lerek ke penjuru kiri pintu gol Penang.

Syafiq Ahmad yang dibawa masuk menggantikan pemain import itu melengkapkan kenduri gol JDT apabila meledak gol terakhir permainan menerusi rembatan lencong melepasi jangkauan penjaga gol. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI