KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak mampu meneruskan aksi magis pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil selepas kalah di perlawanan akhir sebentar tadi.
Pada aksi final itu, Wei Chong-Kai Wun dipaksa bermandi peluh sebelum akur dengan kekalahan tiga set 15-21, 24-22, 19-21 kepada beregu No.16 dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seungjae.
Meskipun tewas pada perlawanan tersebut, namun Wei Chong menjelaskan dia tetap gembira kerana berjaya melayakkan diri hingga ke perlawanan akhir selepas mereka lama berehat akibat kecederaan.
“Perlawanan hari ini ada sedih juga kerana kalah pun beza dua mata sahaja. Saya fikir ini pengalaman yang bagus untuk diri sendiri menjelang kejohanan-kejohanan akan datang nanti.
“Set ketiga sebenarnya kita bermain baik sehingga mereka mendahului permainan. Kemudian kami tidak dapat kawal gelanggang dan membolehkan mereka terus mendahului seterusnya menang,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Perlawanan itu turut dihiasi beberapa insiden termasuk Min Hyuk dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan di set kedua kerana melambat-lambatkan permainan sebelum menerima kad merah di set ketiga atas kesalahan sama.
Kad merah yang diterima Min Hyuk membolehkan Malaysia mengutip satu mata percuma, namun ia masih belum cukup untuk membantu Wei Chong-Kai Wun mendapatkan kelebihan ke atas wakil Korea itu.
Hasil keputusan tersebut, Wei Chong-Kai Wun berpuas hati dengan hadiah wang tunai AS$15,960 (RM73,431) berserta trofi selaku naib juara manakala Min Hyuk-Seung Jae membawa pulang AS$33,180 (RM155,513) dan trofi.
Kejayaan mara ke pentas final pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 itu pastinya menjadi pembakar semangat buat Wei Chong-Kai Wun menjelang Terbuka Singapura yang bermula 6 hingga 11 Jun depan. – KOSMO! ONLINE