PETALING JAYA – Seorang pengguna Twitter mendakwa ramai anak muda sanggup membuka akaun ‘dark side’ atau platform pelacuran moden yang menawarkan perkhidmatan ‘melacur’ secara dalam talian semata-mata untuk hidup mewah selain keinginan memiliki telefon pintar berjenama seperti iPhone.
Dia menerusi satu ciapan hari ini, meluahkan rasa kesal dan kecewa melihat generasi muda yang mula tersesat angkara taksub dengan kehidupan seperti ‘orang kaya’ sehingga sanggup menjadi ‘hamba wang’.
“Ramai anak muda sanggup jadi pencipta kandungan 18SX kerana cara itu cepat jadi kaya.
“Tengok dekat Twitter sudah cukup, sebab gesaan rakan sebaya untuk capai standard kehidupan tertentu.
“Kerana nak pakai jenama telefon pintar iPhone, nak pakai barang berjenama, nak ambil gambar Instagram di tempat mahal. Ia menjadi satu isu yang semakin membarah dalam masyarakat,” ciapnya.
Selain ingin hidup mewah, individu tersebut turut mengakui ada segelintir daripada pemilik akaun ‘dark side’ ini terpaksa melakukan kerja sedemikian semata-mata untuk kelangsungan hidup mereka.
“Ada yang buat demi kelangsungan hidup. Cuma untuk pergi serendah itu, ia sangat merisaukan,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai turut memberi pelbagai reaksi berkaitan isu ini, malah ada yang beranggapan aktiviti pelacuran sudah semakin berleluasa dan mudah untuk diakses melalui media sosial.
“Kalau dulu nak melacur cari bilik gelap, lorong-lorong, sekarang post (muat naik hantaran) di media sosial terbuka sana, dedah sana dah boleh dapat duit,” komen seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE