KUANTAN – Sebanyak RM12.901 juta diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan projek menaik taraf infrastruktur dan fasiliti di klinik-klinik daif negeri ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pada masa ini pihak KKM telah mengenal pasti 42 klinik kesihatan yang diklasifikasikan sebagai daif di negeri ini.
“Kita sebenarnya telah ada perancangan untuk naik taraf beberapa klinik, hari ini saya ke Klinik Kesihatan (KK) Bukit Goh untuk melihat dan meninjau beberapa perkara di sini.
“Saya telah diberikan taklimat untuk melihat keperluan di klinik ini (Bukit Goh) disebabkan oleh kehadiran pesakit yang ramai.
“Kita memerlukan beberapa infrastruktur seperti ambulans yang baharu dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Klinik Kesihatan Bukit Goh, di sini hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf klinik-klinik yang terlibat akan dilaksanakan bermula tahun ini. – KOSMO! ONLINE