fbpx

Malaysia Masters: Prannoy lakar sejarah muncul juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
H.S. Prannoy memastikan gelaran Malaysia Masters menjadi miliknya selepas menewaskan Weng Hong Yang dari China pada perlawanan akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

KUALA LUMPUR – H.S. Prannoy melakar sejarah tersendiri apabila menjadi perseorangan lelaki India pertama muncul juara pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters selepas menewaskan pemain muda China, Weng Hong Yang sebentar tadi.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pemain No.9 dunia itu terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan dalam aksi tiga set 21-19, 13-21, 21-18.

Prannoy tanpa berselindung mengakui sukar untuk mempercayai dia masih memiliki kemampuan memenangi gelaran walaupun terpaksa berdepan ramai pemain muda ketika usianya bakal menginjak ke 31 tahun Julai nanti.

“Saya fikir karier saya ada turun naik dalam tempoh enam atau tujuh tahun ini. Secara jujur, saya langsung tidak fikir masih mampu untuk menjulang sebarang gelaran pada 2023. Kejayaan ini hasil sokongan semua pihak.

“Sekarang keyakinan sudah kembali selepas mula bermain baik pada 2022. Ini adalah gelaran terbesar pernah saya dapat, sudah tentu gembira kerana berdepan ramai pemain muda di sini,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, gelaran perseorangan wanita menjadi milik juara dunia dua kali dari Jepun, Akane Yamaguchi yang mudah mengenepikan cabaran pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung menerusi aksi straight set 21-17, 21-7.

Dalam acara beregu wanita, wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee terpaksa bermandi peluh bagi menafikan kemenangan Pearly Tan-M. Thinaah di laman sendiri apabila menang 22-20, 8-21, 21-17.

Beregu campuran Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai merangkul gelarang sulung mereka di Malaysia Masters selepas bekerja keras menewaskan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 16-21, 21-13, 21-18.

Untuk rekod, pemenang acara perseorangan akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 (RM144,931) berserta trofi manakala juara acara beregu meraih AS$33,180 (RM152,661) dan trofi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI