fbpx

Kartunis Datuk Lat tetap pilih surat khabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) menyerahkan replika cek kepada kartunis, Datuk Lat, yang menerima Anugerah Hawana 2023 di Hotel Casuarina@Meru di Ipoh, hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Kartunis negara yang juga bekas wartawan, Datuk Mohammad Nor Mohd Khalid atau Datuk Lat, 72, tetap memilih media tradisional iaitu surat khabar sebagai rujukan untuk berita di sebalik era media digital.

Anak kelahiran Kampung Lalang, Gopeng yang pernah menjadi wartawan bersama akhbar Berita Harian pada 1970 sebelum bertugas sebagai wartawan Meja Jenayah di akhbar New Straits Times (NST) pada 1973 berkata, beliau memilih surat khabar sebagai bahan bacaan harian kerana selesa dengan cara pembacaan sedemikian.

“Saya lebih memilih bacaan melalui surat khabar kerana surat khabar lebih ‘feel’, surat khabar boleh dipegang, ibarat buku yang boleh dirasai bentuknya.

“Sama seperti buku, saya boleh pegang dan baca waktu berbaring dan sebagainya.

“Memegang buku atau surat khabar memberi rasa pemilikan terhadap sesuatu objek berbanding media sosial yang sekejap sahaja boleh hilang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hotel Casuarina@Meru, di sini hari ini.

Mengenai pemilihannya sebagai penerima Anugerah Hawana 2023, Lat berkata, dia tidak menyangka dipilih dan terkejut dengan pemilihannya itu.

Menurutnya, pada awalnya beliau menyangka anugerah itu dimenangi oleh wartawan generasi muda.

“Mungkin penganjur memilih orang lama seperti saya sebagai menghargai jasa saya ketika bertugas sebagai pemberita,” katanya.

Mengenai pengalamannya sebagai pemberita, Lat berkata, sebagai wartawan tidak boleh mempunyai rasa malu serta mudah kecewa apabila berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan berita.

“Saya pernah ke balai polis untuk mendapatkan bahan berita tetapi anggota yang bertugas mendapat tahu saya seorang wartawan, saya dihalau.

“Namun saya tidak terasa hati atau kecewa sebaliknya memikirkan cara lain untuk mendapatkan berita tanpa melanggar etika dan peraturan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI