IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan berpendirian bahawa media di negara ini perlu bebas beroperasi sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan dalam urusan mereka daripada mana-mana pihak.
Beliau berkata, peranan media dalam melontarkan kritikan terhadap kepimpinan adalah diperlukan dan ia seharusnya membangkitkan rasa takut dalam kalangan mereka yang dikritik.
“Syukur Alhamdulillah dengan perubahan masa. Maka saya dan saya rakan-rakan dan pimpinan kerajaan sekarang membuat keputusan yang sangat jelas bahawa media di Malaysia harus bebas sepenuhnya.
“Kritikan dalam kepimpinan itu diharuskan dan harus menimbulkan rasa cemas dan takut. Saya yakin apa yang kita (kerajaan) lakukan dan saya bersedia berkumpul dan berhujah. Kalau benar ada kelemahan, kita bersedia memohon maaf dan melakukan perubahan,” katanya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 di Hotel Casuarina@Meru di Ipoh, di sini, yang menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media serta wakil persatuan dan kelab wartawan di negara ini.
Beliau diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan pelaksanaannya oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama). Bertemakan ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi, sambutan ini bertujuan untuk menghargai sumbangan dan jasa pengamal media dan wartawan veteran tempatan dalam pembangunan negara dan bangsa.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan hadiah kepada seorang penerima Anugerah Hawana 2023 iaitu Datuk Mohammad Nor Khalid ataupun Datuk Lat dan tiga orang penerima bantuan Tabung Kasih@Hawana yang terdiri daripada wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
Pada masa sama, Anwar berkata, semua pihak perlu bermuafakat sekiranya mahu menyemarakkan suasana kebebasan dan demokrasi yang dinikmati hari ini.
Katanya, tugas wartawan tidak hanya tertakluk kepada merakam berita dan pencetus idea namun ia perlu berdasarkan kepada nilai, sama seperti apabila membicarakan mengenai Malaysia Madani kerana ia berteraskan nilai. – KOSMO! ONLINE