fbpx

Fesyen kampus Hany jadi ikutan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hany juga tidak kisah mengenakan pakaian bundle atau terpakai.

SERING berkongsi video dan gambar bergaya dengan pelbagai koleksi pakaian membuatkan gadis muda ini mempunyai ramai pengikut dalam aplikasi TikTok.

Tidak hanya memiliki wajah yang cantik, vlog memaparkan rutin hariannya sebagai mahasiswi turut membuatkannya semakin popular di media sosial.

Berkongsi kisah, Hany Maisarah Mohd. Hazlan mengakui, dia memang meminati fesyen, gemar bergaya dan suka membuat vlog sejak berada di bangku sekolah menengah lagi.

“Dari zaman sekolah lagi saya memang suka buat vlog untuk kenangan diri sendiri.

“Sejak tahun lalu, apabila sudah boleh pulang ke kampus, saya kembali bergiat aktif buat vlog.

“Mungkin orang suka tengok vlog saya pergi kelas sebab mengingatkan semula zaman mereka sedang study (belajar),” katanya.

Tambah gadis berusia 20 itu, dia tidak menyangka videonya berkongsi rutin harian di kelas membuatkan ramai pengikutnya terutama mereka yang sudah bekerja rindu dengan alam kampus.

“Saya sangat gembira sebab tidak sangka ramai pula cakap mahu sambung belajar semula selepas tengok vlog saya setiap hari.

“Ramai yang cakap, zaman belajar banyak benda seronok berlaku dan boleh kumpul banyak kenangan manis bersama rakan-rakan,” katanya.

Seperkara yang menarik mengenai pelajar ijazah dalam jurusan Reka Bentuk Grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu adalah mengenai penampilan dan caranya berfesyen.

Tidak dinafikan, saban hari ramai yang memuji dan bertanya kepadanya mengenai pakaian yang digayakan.

HANY aktif membuat kandungan media sosial berkaitan fesyen.

Dia yang berasal dari Shah Alam, berkata, kehidupannya juga mula berubah sejak aktif membuat content (kandungan) berkaitan kehidupan di kampus sehingga menjadi ikutan serta inspirasi pelajar lain.

“Dulu saya ingat buat content dekat TikTok sekadar seronok-seronok sahaja, tapi tidak sangka ia membawa rezeki apabila ramai usahawan minta saya ‘review’ produk mereka.

“Sekarang saya boleh guna duit hasil usaha dan kerja part time (separuh masa) sendiri.

“Yuran pengajian di kampus pun saya bayar sendiri sekarang ini,” katanya.

Disebabkan dirinya kini menjadi ikutan generasi muda, gadis yang mesra disapa Hany itu mula memberi inspirasi fesyen kepada orang ramai menerusi videonya.

“Biasanya, ramai yang minta saya buat tutorial cara pakai tudung yang selalu digayakan. Mereka cakap, ia kelihatan kemas dan selesa.

“Saya memang akan bersiap setiap hari untuk ke kelas yang bermula pada pukul 8.30 pagi.

“Meskipun sibuk dengan kerja sambilan, tetapi semua itu tidak mengganggu pelajaran saya.

“Kadang-kadang, ada juga rasa macam terganggu sebab banyak tugasan atau kerja kena selesaikan pada satu-satu masa, namun saya seorang yang sabar,” ujarnya lagi.

Selain video memperagakan pakaian sopan dan ringkas untuk ke kuliah, dia juga rajin berkongsi tip berjimat ketika berbelanja sebagai pelajar universiti.

Baru-baru ini, Hany berkongsi vlog dirinya berbelanja di sebuah gedung pakaian terpakai (bundle) dengan hanya bermodalkan RM15 untuk membeli beberapa helai pakaian yang kemudiannya dipakai dengan begitu bergaya.

Video tersebut mendapat perhatian di TikTok dengan ramai memuji dirinya cukup bersahaja menggayakan pakaian berharga murah tanpa rasa malu.

“Saya memang suka dan rasa puas hati dapat berjimat dengan membeli baju bundle.

“Sebenarnya, tidak penting pun beli baju mahal-mahal kerana ia membazir.

“Dari zaman sekolah pun saya memang suka beli baju bundle.

“Boleh dikatakan 90 peratus baju dalam almari saya semuanya pakaian bundle,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI