SAUDARA PENGARANG,
Salah satu tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah mengurus dan menjaga aset-aset di bawah pentadbiran mereka agar semuanya berada dalam keadaan baik.
Aset yang kerap tidak diambil berat PBT adalah papan tanda penunjuk arah.
Di Bandar Raya Shah Alam, pihak PBT adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Berdasarkan kepada pengamatan penulis sejak 2017, banyak papan-papan tanda penunjuk arah tidak diselenggarakan dengan baik.
Penulis kerap menghantar e-mel kepada Datuk Bandar Shah Alam supaya aset-aset tersebut dibaik pulih atau pun dicuci.
Seperti contoh, gambar papan tanda yang dirakam penulis yang terletak di Persiaran Akuatik, Seksyen 13, Shah Alam yang sewajarnya diganti baharu kerana dalam keadaan sekarang, ia cukup tidak cantik.
Untuk rekod, MBSA telah pun menubuhkan pasukan task force aduan MBSA pada 9 Februari tahun lalu selain mempunyai Ahli Majlis bagi setiap zon. Seksyen 13 adalah di bawah MPP ZON 2.
Besarlah harapan kami penduduk bandar ini agar pihak MBSA dapat menggantikan papan tanda petunjuk arah yang hodoh ini dengan aset yang baharu bagi kemudahan pengguna.
HJ. KAMARUDDIN HASSAN
Seksyen 8, Shah Alam