SIBU – Polis menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes rampasan dua batang pokok ganja di sebuah rumah di Lorong Rambai di sini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 24 tahun itu dicekup anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sibu di pekarangan Mahkamah Sibu pada pukul 9 pagi, 25 Mei lalu.
“Tangkapan ke atas suspek bagi membantu siasatan kes rampasan dua batang pokok ganja pada 24 Mei lalu. Ujian air kencing mendapati lelaki itu positif ganja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Suspek yang tiada rekod jenayah lampau direman selama empat hari sehingga 30 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.
Sementara itu, katanya, penahanan suspek dibuat selepas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sibu menahan dua beradik masing-masing lelaki dan wanita berusia 55 dan 50 tahun pada 24 Mei lalu.
Dua beradik itu ditahan selepas polis menyerbu rumah mereka dan menemui pokok ganja serta sebuah beg plastik hitam mengandungi tanah dan daun kering dipercayai ganja bernilai RM20,000. – KOSMO! ONLINE