SEBERANG PERAI – “Daddy mana, bila daddy balik”.
Demikian soal anak-anak pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu sembilan hari lalu.
Isterinya, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, berkata, dua anaknya iaitu Hana Sakeena Muhammad Hawari, 4, dan Haris Sufian,2, sering bertanyakan soalan itu setiap malam sebelum tidur.
Tiga beranak yang juga OKU pendengaran itu masih terus berharap agar Muhammad Hawari dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.
“Anak sulung kami amat rindukan daddy (Hawari) dan selalu tanya bila daddy akan pulang.
“Hana seorang anak yang kreatif dan dia ada lukis gambar ‘tersirat’ yang mana kami sekeluarga berada di kawasan berbukit.
“Dia tahu daddy ada di situ dan sekurang-kurangnya gambar itu memberi harapan buat kami sekeluarga bahawa Muhammad Hawari akan kembali dengan selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Permatang Kerai Besar, Tasek Gelugor di sini hari ini.
Menerusi terjemahan bahasa isyarat anak saudaranya, Muhammad Danish Danial Muhammad Hafizul,17, Safiyyah memberitahu, emosinya terganggu sejak menerima perkhabaran berhubung kehilangan suaminya.
“Kali terakhir dia hubungi saya pada 15 Mei lalu dan memaklumkan akan memulakan pendakian. Memang terkejut sebab suami berjaya sampai ke puncak, namun hilang pada keesokan harinya.
“Dia sudah berjanji untuk pulang dan meminta kami bersedia untuk menyambutnya di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), Sepang, Selangor dan saya memohon doa semua supaya suami balik dengan selamat,” katanya.
Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meluangkan masa bertanya khabar di samping mendapatkan maklumat terkini berhubung Muhammad Hawari. – KOSMO! ONLINE