KUANTAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bertindak proaktif menubuhkan satu pasukan sukarelawan khas bagi menangani masalah haiwan ternakan berkeliaran di kawasan larangan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan DUN Chini, Mohd Saiful Nizam Mohd Daud berkata, kawasan larangan terbabit termasuk bahu jalan, kawasan perkampungan serta premis awam dan kerajaan.
“Ia merupakan cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Shahrim Md Zain yang mana pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan sukarelawan khas di peringkat DUN Chini.
“Pasukan sukarelawan ini akan membantu agensi terlibat selain JPV seperti pihak berkuasa tempatan dan pihak polis bagi menangkap dan mengawal haiwan ternakan yang berkeliaran di kawasan larangan,”katanya di sini.
Menurut Mohd Saiful, penubuhan pasukan berkenaan mendapat persetujuan dari pihak JPV Pahang dan ternakan ditangkap akan diserahkan kepada JPV untuk tindakan lanjut.
Beliau memberitahu, pasukan sukarelawan itu akan berfungsi untuk membantu penguatkuasaan secara berterusan sehingga isu dan masalah haiwan ternakan berkeliaran di DUN Chini selesai.
Sementara itu, beliau berkata, susulan itu operasi bersepadu bersama JPV Pahang, polis dan Jawatankuasa Pentadbiran DUN Chini bagi menangkap haiwan ternakan berkeliaran di sekitar DUN Chini telah dimulakan malam semalam.
“Ia merupakan operasi pertama disertai sendiri oleh ADUN Chini yang mana operasi bermula pada pukul 12 pagi hingga 5 pagi di lokasi terpilih iaitu di Kampung Salong, Felda Chini dan Kampung Dusun.
“Dalam operasi itu beberapa ekor lembu yang berkeliaran telah ditangkap dan diserahkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE