PETALING JAYA – Kehadiran penyanyi, Datuk ND Lala pada majlis pertunangan anaknya, Shila Amzah dan pempengaruh, Ubai memberi bayangan kemelut dalaman keluarganya semakin pulih.
Situasi tersebut dibuktikan menerusi gambar selepas majlis yang dikongsikan anak bongsu artis era 1980-an itu, Syada menerusi InstaStory miliknya semalam.
Menerusi gambar itu, kelihatan pemilik nama sebenar Amir Amzah Salleh, 62, berdiri bersebelahan isterinya, Datin Fauziah Sarman yang tersenyum manis dengan diapit Shila dan Ubai bersama ahli keluarga lain.
Dalam perkongsian berkenaan, Syada, 25, turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kakaknya dan Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli atas pertunangan mereka.
Bekas peserta Big Stage musim kedua itu juga sempat berseloroh enggan memanggil bakal suami kakaknya sebagai abang disebabkan mereka sebaya.
“Belum boleh ucap selamat datang dalam keluarga. Kita ucapkan dulu tahniah buat pasangan merpati dua sejoli, Shila dan Ubai. Tak nak panggil abang,” tulisnya pada ruangan kapsyen yang memaparkan kegembiraan seisi keluarga tersebut.
Paling menarik perhatian adalah kelibat bapa mereka yang sebelum ini didakwanya enggan lagi berhubung dengan ahli keluarga sehingga terpaksa membuat surat terbuka di Instagram.
Dalam surat berkenaan, Syada menyebut dia dan adik beradiknya reda apabila bapa mereka mengambil keputusan meninggalkan keluarga dan memilih orang lain.
Sebelum itu, ibu mereka berkongsi gambar seorang wanita didakwa sebagai madunya, sekali gus seperti mengesahkan gosip suaminya itu beristeri muda.
Menambahkan lagi spekulasi rumah tangga ND Lala dan Fauziah semakin memburuk adalah apabila wanita terbabit muncul di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 3 April lalu.
Begitupun, Syada menafikan ibunya ke mahkamah bagi menuntut cerai.
Shila yang juga kakak sulungnya meminta keluarga mereka diberikan ruang dalam menghadapi isu tersebut. – KOSMO! ONLINE