KUANTAN – Seorang guru wanita mengalami kerugian sebanyak RM187,000 selepas terpedaya dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman melalui ‘telefon scam’.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 10 Mei lalu apabila mangsa yang berumur 36 tahun menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa mangsa terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia dan mempunyai waran tangkap.
“Mangsa yang agak panik kemudiannya menuruti arahan suspek dengan memindahkan semua wang simpanan yang dimilikinya ke satu akaun bank dan turut telah memberikan maklumat pengenalan diri dan kata laluan urusniaga dalam talian kepada suspek berkenaan.
“Mangsa juga telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM130,000 di bank tersebut bagi tujuan siasatan sepertimana yang diarahkan oleh suspek,”katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.
“Pihak polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar tidak memberikan butiran peribadi seperti nombor akaun dan sebagainya untuk tujuan siasatan secara sewenang-wenangnya.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan atas nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan melalui ‘Check Scammers CCID’ atau melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi dalam talian,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE