TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas sebanyak 3,525 liter minyak petrol menerusi Operasi Bersepadu denga kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini semalam.
Dalam operasi itu, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, rampasan petrol dianggarkan bernilai RM5,781 dan ia dipercayai akan diseludup ke negara jiran.
“Dalam operasi itu, kita telah menggempur tujuh lokasi berasingan di sekitar kawasan tebing Sungai Golok di Pengkalan Kubor.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah kereta dianggarkan bernilai RM30,781,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azanizam, rampasan itu berhasil selepas menjalankan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasa sempadan
Katanya, ia bagi memastikan aktiviti penyeludupan terutama bahan bersubsidi ke negara jiran dapat dikurangkan.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan dengan niat melakukan penyeludupan ke negara jiran. – K! ONLINE