fbpx

Ibu bapa bawa anak kunjungi pesta buku musim cuti sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA pengunjung yang membanjiri PBAKL di WTCKL semalam.

KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sejak Jumaat lalu dibanjiri pengunjung semalam yang mengambil kesempatan daripada musim cuti sekolah.

Seorang guru, Zaitun Omar, 53, berkata, dia hadir ke PBAKL kali ini bersama 43 ahli rombongan yang terdiri daripada guru dan murid dari sekolahnya iaitu Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad, Kuantan.

Jelas Zaitun, mereka yang sangat teruja dengan penganjuran PBAKL kali ke-40 bertolak dari sekolah seawal pukul 6 pagi lagi sebelum tiba pada 10 pagi untuk membeli buku bagi ditempatkan di perpustakaan sekolah selain untuk diri sendiri.

“Datang ke sini pun mahu beli buku untuk perpustakaan sekolah sebab murah dan banyak diskaun berbanding hari-hari biasa,” ujarnya.

Bagi seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ilyana Fauzi, 21, dia sanggup bersesak dengan ribuan pengunjung kerana diskaun yang ditawarkan.

“Karnival macam ini sebenarnya yang sangat ditunggu-tunggu oleh pelajar. Bila tahu PBAKL sudah bermula saya terus hadir hari ini untuk beli buku rujukan.

“Saya terkejut ada kedai yang tawarkan diskaun sehingga tiga buah buku berharga hanya RM10. Memang berbaloi untuk pelajar macam saya cari bahan rujukan dekat sini. Jimat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerbitan Rabak Lit, Izzat Amir berkata, dia sudah bersama PBAKL sejak 13 tahun lalu.

“Bagi saya, PBAKL ini satu medan untuk mengubah persepsi orang ramai yang beranggapan bahawa rakyat Malaysia hari ini tidak lagi minat membaca buku,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI