fbpx

Saya yang jahat – Nadia Annuar minta jangan salahkan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIA ANNUAR mengakui perbuatan menanggalkan tudung bertentangan dengan tuntutan agama Islam.

PETALING JAYA – Selepas mengundang kejutan dan dikecam hebat gara-gara ‘episod’ tudung terbang, bekas personaliti televisyen, Nadia Annuar merayu agar perbuatan tersebut tidak dikaitkan dengan ibunya yang juga usahawan popular, Zaiton Hassan.

Mengakui kesalahan sendiri tidak lagi bertudung, Nadia atau nama lengkapnya Nadia Shahrul Annuar itu memohon orang ramai tidak menyalahkan ahli keluarganya memandangkan perbuatan tersebut  tiada kaitan dengan mereka

“Tolong jangan kaitkan ibu atau ahli keluarga saya yang lain. Ini bukan salah mereka tetapi memang keputusan saya sendiri.

“Ibu saya adalah emak yang paling hebat. Dia sudah lakukan yang terbaik dalam membesarkan dan menasihati saya termasuk adik saya.

“Kalian boleh meletakkan kesalahan kepada saya tetapi jangan berkata buruk kepada mereka. Saya yang jahat,” katanya dalam sebuah hantaran status.

Khamis lalu, bekas pengacara Wanita Hari Ini itu mengundang kejutan selepas memuat naik sekeping foto tidak lagi memakai tudung pada hari kelahirannya yang ke-39.

Kakak kepada pelakon Harris Annuar itu juga memohon maaf jika tindakannya menimbulkan rasa kurang senang khalayak.

Dia juga tidak ada masalah menelan segala caci maki netizen atas tindakannya.

“Kecamlah sepuas hati. Saya reda sebab semua ini kekhilafan saya sendiri.

“Saya pun tidak mahu bagi alasan sebab kita semua tahu apa yang wajib. Cuma saya minta diberikan sedikit ruang dan masa.

“Maafkan saya sekiranya kekhilafan ini membuatkan kalian kurang senang dan membenci saya. Terlalu banyak yang saya lalui dan tidak dapat saya kongsikan,” ujarnya lagi.

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen berlumba-lumba melemparkan komen negatif terhadap perubahan imej yang dianggap bukan ke arah kebaikan.

“Maaf Nadia, mungkin awak fikir lebih cantik tanpa memakai tudung tetapi sejujurnya tidak. Awak nampak lebih muda, cantik dan segar apabila mengenakan hijab,” kata seorang pengikut.

“Beginilah wanita zaman sekarang. Kalau tidak takut Allah, kasihankanlah kepada suami atau Cik Ton (ibu Nadia),” luah seorang pengguna media sosial.

“Sebesar apa pun masalah anda, jangan sesekali langgar perintahNya,” tutur netizen berlainan.

Sebelum membuka hijab, bekas hos Malaysia Hari Ini itu juga seringkali memuat naik gambar menggayakan tudung yang menampakkan rambut. Sekitar tahun 2015, Nadia juga pernah dihebohkan dengan penularan gambar-gambar seksi yang mengundang perdebatan ramai. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI