PETALING JAYA – Logo Malaysia Madani dipilih sebagai logo rasmi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 yang akan disambut bermula bulan Ogos sehingga September depan.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tema bagi sambutan HKHM pada tahun ini adalah ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.
Jelasnya pelancaran HKHM 2023 itu telah diadakan di Esplanade, Suria KLCC hari ini.
“Pemilihan logo Malaysia Madani itu berteraskan kepada reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’ serta mengandungi warna-warna asas Jalur Gemilang selaras dengan jati diri.
“Selain itu, ia melambangkan semangat patriotik rakyat Malaysia yang berbilang bangsa hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa,” tulisnya.
Pada hantaran sama, beliau menyeru agar semua rakyat menyemarakkan lagi bukan kebangsaan dengan rasa cinta kepada negara.
“Harapan saya agar semua rakyat Malaysia semarakkan rasa cinta negara dengan turut serta dalam program yang telah disusun atur sepanjang bulan kebangsaan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE