fbpx

Berazam ubah diri untuk dapat haji mabrur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU AZIZ menunjukkan kitab rujukan yang digunakan untuk mengetahui mengenai rukun dan wajib haji di Mekah semalam.

MEKAH – Jemaah yang mengimpikan untuk mendapat umrah dan haji mabrur hendaklah berazam untuk berubah selain menjaga adab yang diiringi dengan doa dan harapan kerana ia merupakan anugerah Allah SWT kepada sesiapa sahaja dikehendaki-Nya.

Pengarah Operasi Bimbi­ngan Haji, Ustaz Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, setiap rukun dan wajib dua ibadat tersebut hendaklah dijaga dan dilakukan dengan penuh keyakinan supaya tiada cacat cela dari segi hukum.

Katanya, jika melanggar rukun, jemaah akan dikenakan dam mengikut nilai yang ditetapkan sebagai denda kerana tidak mengikut syarat sah umrah atau haji.

“Dam bukanlah benda yang perlu dipersoalkan kerana ia menunjukkan ketaatan seseorang hamba itu mengikut pe­rintah Allah SWT, sekali gus dapat mendidik hati.

“Tauladan yang boleh diambil ialah seperti dalam kisah Nabi Ibrahim yang taat kepada perintah Allah supaya menyembelih anaknya, Nabi Ismail sebelum digantikan dengan kibas. Ini merupakan contoh keyakinan yang dapat dijadikan pengajaran,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Tengku Aziz, segala perbuatan seperti berihram, tawaf, saie, melontar dan tahalul di dalam dua ibadat tersebut sebenarnya hendak mengajar kita supaya taat kepada perintah dan meninggalkan larangan Allah SWT.

Tambahnya, mengikut Ibnu Hajar Al-Asqalani, terdapat tanda-tanda haji atau umrah itu diterima atau mabrur seperti seseorang itu berubah kepada lebih baik. “Jika dahulu dia berkawan dengan orang tak tentu hala, selepas dia balik dia akan mencari rakan yang selalu mengingatkan dia kepada Allah. Dia juga akan menjaga solat dan kelakuannya selain sering ke majlis ilmu dan meninggalkan program lagha (sia-sia),” katanya.

Ujar Tengku Aziz, jemaah juga perlu menjaga adab dengan mengawal pertuturan di Tanah Suci dan segera memohon keampunan sekiranya terlepas cakap perkara buruk kerana selalunya ia dibayar secara ‘tunai’ di sini.

“Lebih baik berdiam daripada bercakap benda yang kosong dan lebihkan membaca al-Quran dan berzikir kerana ia membawa banyak manfaat kepada manusia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI