RAWANG – Lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemukan rentung selepas rumah didiaminya terbakar di Jalan Desa 4/10 Taman Desa Country Homes, di sini, hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan insiden kebakaran rumah itu pada pukul 6.28 pagi.
Katanya, sebanyak 13 anggota serta dua jentera keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Rawang dan BBP Batu Arang bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di bahagian bilik di tingkat bawah.
“Bagaimanapun, api telah dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi dan anggaran kemusnahan keseluruhan hanya 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Md Razali, sewaktu melakukan proses Overhaul bagi memastikan kebakaran padam sepenuhnya, pihaknya menemui seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun rentung di dalam bilik tersebut.
“Mangsa merupakan OKU mental yang tinggal bersama abangnya di rumah tersebut, namun abang mangsa tidak mengalami kecederaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.