fbpx

Mayat anggota tentera ditemui selepas enam hari hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta anggota tentera yang terbabas di sebuah parit di Sabak Bernam.

SABAK BERNAM – Kehilangan seorang anggota tentera sejak enam hari lalu terungkai apabila mayat lelaki itu ditemui dalam sebuah kereta akibat terbabas di sebuah parit berdekatan sebuah hotel di daerah ini, hari ini.

Kereta Perodua Kelisa dinaiki mangsa yang berusia 27 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan terbalik di parit sedalam kira-kira dua meter.

Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, sembilan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bernam bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 4.23 petang.

“Pemeriksaan mendapati kereta itu masih berada dalam parit dan bomba menggunakan jentera ‘back hoe’ bagi menaikkannya.

“Mangsa yang berjaya dikeluarkan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota dan pasukan perubatan sedang menutup beg mayat mangsa.

Tambah beliau, isteri mangsa menerima laporan bahawa anggota tentera itu tidak hadir bertugas di Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

“Laporan polis dibuat keluarga mangsa mengenai perkara itu sehingga kereta ditemui orang awam tadi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias mengesahkan kejadian dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan mendapati mangsa yang menetap di Jempol, Negeri Sembilan sedang menuju ke Lumut sebelum kereta dipandunya hilang kawalan lalu terbabas.

“Mayat anggota tentera itu dihantar ke Hospital Sabak Bernam bagi proses bedah siasat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI