PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi perasaan terharu apabila menerima kunjungan pendakwah terkenal, Ismail Menk atau Mufti Menk yang menziarahi keluarganya di rumah, semalam.
Menerusi perkongsian satu klip video di media sosial Att Yusof, memaparkan kehadiran ulama besar yang berasal dari Zimbabwe itu bagi menunaikan permintaan ibunya.
“Mufti Menk merestui kami dengan kehadiran beliau semalam. Saya tahu mama saya mahu berjumpa dengannya sekali lagi, jadi pertemuan ini mengambil masa satu bulan untuk dirancang.
“Apabila saya tahu dia datang ke Malaysia, saya menghantar mesej kepadanya untuk menjemput datang ke rumah. Bersyukur kerana dapat memenuhi hajat ibu,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Berdasarkan video berdurasi lebih lima minit itu, Mufti Menk dilihat datang berseorangan dan sempat memberikan tazkirah pendek sambil beramah mesra bersama keluarga tersebut.
Sehubungan itu, ramai yang bertanya bagaimana wanita berkenaan dapat menjemput Mufti Menk ke rumahnya.
Di akhir video tersebut, wanita itu menceritakan, dia sekeluarga pernah terserempak bersama pendakwah terbabit di sebuah pusat beli-belah di sini pada tahun 2019.
“Kami terserempak dengan Mufti Menk di One Utama dan mak saya tegur dia. Beliau kemudian memberikan nombor telefonnya untuk mengikuti perkembangan kesihatan ibu saya,” jelasnya.
Mufti Menk adalah cendekiawan Islam global terkemuka yang aktif berdakwah mengelilingi dunia.
Pada 2010, beliau dinobatkan sebagai salah seorang daripada 500 Muslim Paling Berpengaruh serta dianugerahkan gelaran Doktor Terhormat daripada Universiti Aldersgate. – KOSMO! ONLINE