BINTANG pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi perlu menunggu keputusan ujian rawatannya hari ini untuk mengetahui peluangnya beraksi di suku akhir 100 meter (m) Kejohanan Kelayakan Persatuan Olahraga Kolej-Kolej Nasional (NCAA) di Florida pagi esok.
Semalam, Azeem, 19, mengharapkan keajaiban agar kecederaannya sempat pulih selepas mengalami kecederaan pangkal paha walaupun layak sebagai tiga pelari terpantas peringkat saringan pada pusingan pertama.
Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu dilihat menamatkan perlumbaan di Stadium Hodges, Jacksonville tersebut dalam keadaan terhincut-hincut menerusi masa 10.21s.
“Saya tak pasti dapat lari atau tidak sebab kecederaan pangkal paha. Saya juga tak berlatih selama lima hari kerana fokus untuk proses pemulihan.
“Sekarang bimbang tak sempat (aksi suku akhir) sebab tadi (semalam) saya lari 10.21s pun dalam keadaan terhincut-hincut. Harap keajaiban berlaku dan dipermudahkan urusan saya.
“Apa-apa pun tengok dulu treatment (rawatan) esok (hari ini) macam mana,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Difahamkan, Azeem yang mewakili Universiti Auburn terpaksa menerima rawatan dan membalut bungkusan ais pada pangkal paha kanan selepas tamat perlumbaan semalam.
Di suku akhir pagi esok, Azeem diletakkan dalam saringan 3 bersama Cole Beck dengan masa 10.05s di pusingan pertama, Da’Marcus Fleming (10.10s), Wanya McCoy (10.10s), Rodney Heath Jr. (10.13s), PJ Austin (10.14s), Javonte Harding (10.14s) dan Antonio Laidler (10.19s).