fbpx

Mahkamah: Dijel enam bulan buat hantaran jelik terhadap Sultan Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Masri (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen, hari ini. Foto oleh Faiz Alif.

KUALA LUMPUR – Seorang jurukimpal dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di laman sosial Twitter Disember, tahun lalu.

Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Masri Md. Darus, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh jatuh hukum, hari ini.

Mengikut pertuduhan Mohd. Masri didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Twitter dengan menggunakan laman profil Twitter “@Muhammad65J” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lain yang jelik dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Tertuduh memuat naik Hantaran jelik itu pukul 8.21 pagi pada 22 Disember tahun lalu, yang kemudian hantaran itu
dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pukul 5 petang pada 3 Januari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nur Ilya Ellyna Nor Azmal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat awam agar lebih berhati-hati dalam memuat naik hantaran di media sosial.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak berkemampuan dan perlu menjaga ibu yang sedang uzur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI