PETALING JAYA – Seorang individu meluahkan rasa kecewa apabila mendapat tahu ibunya curang dan kerap ‘melayan’ lelaki lain yang dikenalinya melalui aplikasi TikTok.
Melalui ruangan di akaun Twitter @ConfessTweetMy, individu berkenaan yang juga anak sulung buntu dan tertekan dengan situasi tersebut selain meminta pandangan orang ramai mengenai tindakan yang perlu diambil.
“Mak saya baru kantoi ’melayan’ lelaki lain, kenal di aplikasi TikTok. Saya tak tahu nak buat macam mana sebagai anak sulung.
Tambahnya, dia juga nekad untuk menegur perbuatan ibunya tetapi malang, apabila ibunya tidak mengakui perlakuannya walaupun sudah diketahui.
“Hari tu saya nekad untuk tegur dia sebab saya rasa tak boleh nak hadap. Saya WhatsApp dan tegur untuk berubah. Apa yang sedihnya, dia sanggup bersumpah, junjung al-Quran, dia tetap menafikan,” luahnya.
Menurutnya, dia berasa simpati terhadap bapanya yang penat keluar mencari rezeki tetapi isterinya sebaliknya dan perkara ini bukan kali pertama terjadi.
“Apa yang perlu saya buat sebagai seorang anak? Saya ingatkan dia dah berubah, tapi sekarang lagi teruk. Yang terbaru, kantoi melayan lelaki, bukan seorang tetapi banyak lelaki,” luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai menasihatkan individu terbabit supaya menceritakan perkara berkenaan terus kepada bapanya.
“Beritahu saja bapa, tapi kena siap sedia dengan kesannya. Lagi satu kalau nak bagitahu kena ada bukti, takut bapa awak tak percaya,” komen Jinie.
Perkongsian tersebut menjadi tular di aplikasi Twitter dengan tontonan sebanyak 151,000, 481 tanda suka dan 202 ulang ciap. – KOSMO! ONLINE