KUALA LUMPUR – Perjalanan karier Datuk Lim Teong Kim bersama Perak akhirnya menemui titik noktah selepas pengurusan pasukan ambil keputusan untuk ‘berpisah’ dengan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.
Hanya dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan nyata tidak memenuhi kehendak pengurusan memandangkan Teong Kim hadir dengan status hebat selaku mantan pengendali skuad remaja Bayern Munich.
“Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super berkuat kuasa serta-merta. Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara untuk masa terdekat.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan skuad The Bos Gaurus.
Kekalahan 3-1 kepada Sabah di Stadium Likas, kelmarin menjadi sumbangan terakhir Teong Kim. – KOSMO! ONLINE