BANGKOK – Polis Thailand memberkas seorang lelaki kerana menikam isterinya sehingga mati selepas mereka bertengkar mengenai masalah kewangan serta rasa cemburu, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Dalam insiden di wilayah Ratchaburi itu, suspek dikenali sebagai Mongkon, 36, mengaku menikam isterinya berulang kali menggunakan sabit yang digunakan untuk mengait buah kelapa.
Anggota dari Balai Polis Baan Pong bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai insiden itu sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) semalam.
Polis menemui mayat mangsa yang dikenali sebagai Pinmuk, 35, bersama beberapa kesan tikaman pada badannya. Sebilah sabit juga berada berhampirannya.
Suspek yang pada mulanya melarikan diri, diberkas polis selepas dia dikesan berada di rumah saudara perempuannya, Metta.
Menurut Metta, suspek tiba di rumahnya pada pagi tersebut sambil mengaku menyerang mangsa.
Tambah Metta, pasangan suami isteri itu bekerja bersama di sebuah tapak pembinaan serta turut menguruskan sebuah kebun cendawan kecil.
Mereka mempunyai hubungan yang baik dan saling mencintai, namun tabiat minum arak suspek menyebabkan dia bertindak agresif dan sering mencetuskan pergaduhan dengan isterinya.
Sementara itu, suspek ketika disoal siasat mengaku melakukan jenayah itu serta mendakwa bahawa mangsa mengkritiknya mengenai hal kewangan selain turut menghina keluarganya.
Rasa curiga terhadap kesetiaan isteri turut meningkatkan lagi rasa marah lelaki itu.
“Maafkan saya, saya telah melakukan kesilapan. Saya hanya cintakan dia dan tidak akan cintakan orang lain,” kata suspek. – Agensi