ATLET heptatlon kebangsaan, Norliyana Kamaruddin belum terlintas untuk menggantung spike kerana masih mahu terus mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Norliyana, 32, berharap dapat menggenggam pingat emas di pentas Sukan SEA terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk menutup karier olahraganya.
Sejak bertukar ke acara heptatlon pada 2017, atlet Negeri Sembilan itu berjaya meraih pingat perak di Manila 2019 dan gangsa di Hanoi 2021 yang menyaksikannya memecahkan rekod kebangsaan miliknya.
Bagaimanapun, percubaan Norliyana untuk memperbaharui catatan kebangsaan dengan 5,262 mata pada edisi di Phnom Penh, Kemboja tidak berhasil apabila mengakhiri saingan di tempat kelima.
“Secara keseluruhan prestasi saya pada Sukan SEA lalu sangat mengecewakan tetapi saya tetap memberikan fokus terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
“Perancangan selepas ini bergantung kepada coach Malik (Tobias). Kami akan duduk berbincang mengenai apa langkah seterusnya buat saya.
“Sukan SEA 2025 di Thailand dan 2027 di Malaysia kena tengok keadaan serta prestasi saya dahulu. Mungkin kalau tiada aral melintang sebab saya memang impikan pingat emas di Sukan SEA,” katanya.
Pada masa sama, Norliyana menjelaskan, dia tidak akan meninggalkan heptatlon untuk kembali memberi fokus buat lompat tinggi semata-mata dalam kejohanan selepas ini.
Difahamkan, pertandingan seterusnya buat Norliyana ialah Kejohanan Olahraga Asia yang akan berlangsung di Stadium Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai depan.