BANDAR RAYA MEXICO – Seorang wanita di Mexico mendedahkan tabiatnya yang gemar memakai korset telah menyebabkan pinggangnya ramping, berukuran cuma 29.9 sentimeter (11.7 inci), lapor akhbar New York Post semalam.
Ruth Lujan menerusi akaun [email protected] berkata, dia disahkan menghidap sindrom hyperlaxity ketika berusia 19 tahun. Keadaan itu menyebabkan ligamen yang menyokong sendi mempunyai lebih banyak regangan.
“Saya amat sedih. Ini kerana keadaan itu membuatkan saya tidak dapat memakai kasut balet lagi,” katanya yang merupakan bekas penari balet.
Doktor kemudian mencadangkan agar Lujan memakai korset bagi melindungi otot dan ligamen serta mengelakkan simptom seperti keletihan dan kekakuan.
“Otot anda menjadi lemah, selain itu ligamen dan tulang belakang turut lemah,” katanya dalam sebuah video di laman perkongsian video, YouTube.
Atas saranan doktor, Lujan mula memakai korset di sebalik pakaiannya setiap hari.
Walaupun berat hati untuk berbuat demikian pada mulanya, Lujan akhirnya menyukai pinggang ramping yang dimilikinya selepas memakai korset.
“Amalan tersebut membuatkan saya lebih yakin dan menyayangi diri sendiri. Saya berbangga melihat bentuk badan ini.
“Saya berjaya mengecilkan pinggang sehingga berukuran 29.9 sentimeter. Siapa yang tidak mahu pinggang ramping seperti kerengga?” katanya. – Agensi