JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang pemandu lori yang tertidur ketika menunggu dalam kesesakan lalu lintas, lapor laman berita Kompas.
Video itu dimuat naik dalam akaun Twitter @hahingang.
Pemandu yang kelihatan penat itu dikatakan tertidur seketika kerana terlalu lama menunggu di jalan yang sesak.
Apabila kenderaan lain mulai bergerak, ruangan kosong di hadapannya tidak diisi, malah terdapat banyak kenderaan lain yang menunggunya di belakang.
Dia kelihatan tidur nyenyak dengan kepala senget ke belakang dan mulut terbuka.
Memandu dalam keadaan penat mampu meningkatkan risiko kemalangan dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Pengarah Latihan Perunding Pertahanan Keselamatan Indonesia, Sony Susmana berkata, rehat setengah jam ketika perjalanan sudah memadai asalkan kualiti tidur yang baik.
“Paling penting adalah memulihkan keadaan fizikal seperti melakukan regangan, minum dan buang air kecil dan menyegarkan badan,” katanya. – Agensi