WASHINGTON – Sepasukan saintis telah mengesan satu isyarat asing dari angkasa lepas, lapor portal berita MailOnline semalam.
Pasukan saintis dari Institut SETI berpangkalan di Lembah Silikon, Amerika Syarikat (AS) itu sebenarnya mengadakan simulasi isyarat yang dipancarkan daripada kapal angkasa pengorbit Marikh pada pukul 3 petang (waktu tempatan).
Gelombang radio itu kemudian dikesan oleh tiga teleskop besar di Bumi dalam tempoh 16 minit.
Kejadian pertama seumpamanya itu didakwa akan memberi manusia pengalaman apabila dihubungi makhluk asing.
Saintis di AS dan Itali teruja apabila isyarat itu muncul pada skrin komputer mereka sebelum gelombang radio itu dimuat turut dalam beberapa bahagian.
Pasukan itu merahsiakan butiran penting penemuan itu termasuk jenis isyarat dan mesej yang disertakan.
Isyarat itu diterima tiga teleskop besar di seluruh dunia termasuk Allen Telescope Array (ATA) di California, Robert C. Byrd di Balai Cerap Green Bank (GBO) di West Virginia dan Stesen Astronomi Radio Medicina di utara Itali.
Penyelidik berkata, mesej itu dimuat naik petang semalam dan akan berkongsi dua pautan pada platform media sosial SETI. – Agensi