fbpx

Gelaran juara kini dalam tangan Mir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIR dalam landasan tepat untuk merangkul kejuaraan dunia MotoGP musim ini jika dapat mengutip mata dalam baki tiga perlumbaan GP terakhir. – AFP

MADRID – Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso, 34, menasihati Joan Mir supaya tidak ter­buru-buru mencari kemenangan dalam baki perlumbaan musim ini semata-mata untuk meraih gelaran dunia pertamanya pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2020.

Mir yang mewakili pasukan Suzuki Ecstar itu dilihat berpeluang cerah untuk dinobatkan sebagai juara dunia musim ini selepas berkelebihan 14 mata dengan pencabar terdekat di tempat kedua iaitu pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo.

Bagaimanapun, pelumba berusia 23 tahun itu masih belum merasai kemenangan dalam mana-mana grand prix (GP) musim ini walaupun berjaya menaiki podium sebanyak empat kali sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga.

Justeru, Dovizioso yang kini sudah 13 musim beraksi dalam saingan MotoGP, percaya Mir cuma perlu mengelak daripada gagal menamatkan perlumbaan dalam tiga GP terakhir musim ini bagi mencerahkan peluangnya untuk bergelar juara edisi kali ini.

“Saya tidak rasa Mir perlu be­kerja keras untuk memburu kemenangan dalam baki tiga pusingan selepas ini. Saya tidak menganggap kemenangan itu penting kerana pada akhirnya ia (gelaran juara dunia) ditentukan menerusi kutipan mata.

“Jika Mir gagal meraih kemenangan tetapi masih berjaya mengutip mata, ia sudah memadai untuk dia meraih gelaran dunia. Jadi, saya rasa Mir hanya perlu konsisten dalam setiap perlumbaannya selepas ini,” kata Dovizioso.

Dovizioso sudah mengibarkan bendera putih untuk merebut gelaran juara musim ini selepas mengakui sukar menandingi kehebatan jentera Suzuki.

Ia sekali gus menyaksikan Dovizioso terlepas peluang untuk bergelar juara dunia MotoGP buat kali pertama dalam kariernya.

Sebagai rekod, pelumba Itali itu ketika ini menduduki tangga kelima carta keseluruhan dengan 109 mata dan dipisahkan 28 mata dengan Mir. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI