PARIS – Penggempur sensasi Perancis, Kylian Mbappe dilaporkan tidak berminat untuk mengaktifkan pilihan lanjutan kontrak setahun bersama Paris Saint-Germain ketika kontrak semasanya bakal berakhir Jun 2024.
Pemain tersebut menandatangani kontrak selama tiga tahun sebelum kempen 2022-23 bermula, namun berdasarkan laporan ia hanyalah kontrak dua tahun, manakala setahun lagi adalah pilihan.
Situasi itu menyaksikan Mbappe bakal memasuki 12 bulan terakhir kontraknya menyebabkan PSG perlu berdepan proses rundingan kontrak baharu atau membuat keputusan menjualnya pada jendela kali ini bagi mengelakkan dia pergi secara percuma.
Pada musim panas 2021 lalu, Real Madrid hadir dengan tawaran mega untuk mendapatkan Mbappe, namun ditolak oleh PSG, namun impian gergasi Sepanyol itu mungkin bakal menjadi kenyataan kali ini sama ada berpeluang membeli pada musim panas ini atau mendapatkannya secara percuma musim panas tahun depan.
Media di Perancis mendedahkan, PSG percaya mereka mampu memujuk Mbappe untuk kekal bersama pasukan itu sehingga 2025 dengan mengaktifkan lanjutan kontrak berkenaan walaupun pemain itu enggan mendedahkan pendiriannya.
Difahamkan, Mbappe tidak menunjukkan minat yang kuat untuk melanjutkan tempohnya di Parc des Princes dan PSG memiliki tempoh sehingga 31 Julai untuk memujuk pemainnya itu atau dia akan meninggalkan kelab berkenaan secara percuma pada 2024. – AGENSI