LONDON – Bekas Pengarah Teknikal Ferrari dan Prinsipal Mercedes, Ross Brawn percaya Daniel Ricciardo, 31, mampu menandingi kehebatan Lewis Hamilton dalam perebutan gelaran dunia Formula Satu (F1) musim ini jika mempunyai jentera terbaik seperti Mercedes.
Ia selepas kecemerlangan dipamerkan Ricciardo yang kini memandu jentera Renault, berjaya melakukan kejutan dengan menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Emilia Romagna pada tempat ketiga di Litar Antarabangsa Imola, Itali baru-baru ini.
Ia adalah podium kedua Ricciardo musim ini selepas berjaya meraih tempat ketiga pada GP Eifel di Nuremberg, Jerman awal bulan lalu sekali gus merupakan penamat terbaik buat pemandu Australia itu yang akan menyertai McLaren tahun depan.
“Ricciardo adalah pelumba yang cemerlang dan berjaya memahat namanya antara pemandu terbaik dalam saingan F1. Satu perlumbaan yang mengagumkan apabila berjaya menamatkan saingan pada kedudukan podium.
“Kalau Ricciardo diberikan peluang mengemudi jentera Mercedes, tidak mustahil dia mampu menempah petak pertama dan mencabar gelaran dunia dengan Hamilton.
“Renault membuat satu kesilapan besar kerana melepaskan Ricciardo yang telah menunjukkan prestasi cemerlang walaupun penggantinya musim depan ialah Fernando Alonso.
“Saya amat berharap agar McLaren dapat memberi jentera terbaik buat Ricciardo musim depan. McLaren perlu memanfaatkan peluang apabila mendapat seorang pelumba berbakat,” kata Brawn.
Sebagai rekod, Ricciardo kini menduduki tangga keempat keseluruhan selepas mengumpul 95 mata dan dipisahkan 187 mata dengan Hamilton yang kini semakin hampir untuk menjulang gelaran dunia ketujuh dalam kariernya. – AGENSI