SHAH ALAM – Isu bekalan air di Kelantan dan Sabah akan cuba diselesaikan menerusi pertemuan bersama pimpinan dua negeri itu pada minggu depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, beliau sedang mengatur pertemuan tersebut selain turut membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
“Seperti mana saya sebutkan, saya sedang mengatur pertemuan dengan NRECC, MOF (Kementerian Kewangan) dan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob), begitu juga dengan (pimpinan kerajaan) Sabah.
“Saya cuba ubah suai jadual untuk jumpa (mereka),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Persekutuan akan menangani masalah air di Kelantan dan Sabah meskipun melibatkan belanja besar.
Ketika mengulas mengenai rampasan jam tangan pelangi jenama Swatch yang dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Anwar menjelaskan menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri.
“Ini kerana saya tidak mempunyai butiran lengkap mengenainya. Bukan isu warna tetapi isu LGBT dimasukkan ke dalam jam tangan (difahamkan), maaf saya tidak nampak butirannya,” katanya. -KOSMO!ONLINE