ISTANBUL – Penyerang prolifik Manchester United, Marcus Rashford bertekad menjadikan juara Turki, Istanbul Basaksehir sebagai mangsa melepaskan geram menjelang aksi ketiga Kumpulan H kempen Liga Juara-Juara di Stadium Basaksehir Fatih Terim awal pagi esok.
Rashford, 23, menegaskan, dia dan rakan-rakan sepasukan perlu bangkit membuktikan tahap sebenar mereka selepas tewas kepada Arsenal kelmarin iaitu kekalahan pertama di tangan The Gunners dalam tempoh 14 tahun beraksi di Old Trafford sejak 2006.
Justeru, penyerang antarabangsa England itu menggesa The Red Devils agar menampilkan prestasi hebat seperti dilakukan ketika membelasah jaguh Jerman, RB Leipzig pada aksi kedua Liga Juara-Juara minggu lalu.
“Sukar untuk menerima kekalahan ini, lebih-lebih lagi ia diraih beberapa hari selepas saya menyambut ulang tahun kelahiran ke-23. Kami tak boleh kecewa selama-lamanya kerana banyak lagi perlawanan yang lebih sukar selepas ini.
“Jangan risau kerana kami sentiasa bangkit selepas meraih keputusan negatif. Inilah waktu yang sesuai untuk kami buktikan karakter para pemain United sebagai satu pasukan dengan kembali memenangi perlawanan,” kata Rashford.
Walaupun United tidak pernah menentang Basaksehir sebelum ini, namun gergasi Liga Perdana Inggeris itu tetap muncul sebagai pilihan utama berdasarkan prestasi ketika menewaskan finalis musim lalu, Paris Saint-Germain 2-1 sebelum menang ke atas Leipzig.
“Kami sudah tahu apa masalah utama sewaktu kekalahan kepada Arsenal. Kami akan pastikan perkara sama tidak berulang dalam perlawanan seterusnya (bertemu Basaksehir),” jelas Rashford. – AGENSI