JOHOR BAHRU – Sebanyak 12 lokasi pembuangan atau ‘hotspot’ telah dikenalpasti sebagai punca utama yang menyebabkan pencemaran sampah di Sungai Skudai, di sini masih terus berlaku tanpa kesudahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, kesemua lokasi berkenaan merupakan penyumbang utama kepada sampah di sungai tersebut.
Menurut beliau, antara lokasi tersebut adalah Taman Impian Emas, Jeti Nelayan Tampoi Utama, Kampung Pasir, Jeti Nelayan Pengkalan Rinting, Pulau Danga Bayu dan Kampung Bakar Batu.
“Melalui jawatankuasa yang ditubuhkan, kita berjaya kenal pasti ‘hotspot’ sampah ini setelah kita lakukan usaha membersihkan kawasan tersebut secara gotong royong.
“Berdasarkan data, ia menunjukkan dalam tempoh dua tahun sampah sarap dikutip di Sungai Skudai, kutipan mencecah 30 tan sebulan tanpa adanya pengurangan.
“Jadi bila masuk tahun ketiga ini, kita ambil langkah kenal pasti kawasan punca pembuangan, jadi ini salah satu tempat (Kampung Pasir) punca sebelum sampah mengalir ke Sungai Skudai,” katanya selepas menghadiri Program Johor Bersih Sungai Skudai di Rumah Pam Kampung Pasir di sini, hari ini.
Antara 12 lokasi ‘hotspot’ lain termasuklah Log Boom Pusat Informasi, PPRT Melana Indah (Sungai Melana), Taman Damai Jaya, Kampung Laut, Kampung Pertanian, Kampung Separa dan Kampung Melayu Sengkang.
Tambah Raven Kumar, kerajaan negeri enggan menyalahkan mana-mana pihak termasuk penduduk setempat, namun beliau berharap kesedaran awam dapat ditingkat bagi memastikan kawasan itu bersih.
“Kita tidak boleh salahkan orang kampung sahaja, tetapi ini menunjukkan kesedaran kurang iaitu masyarakat masih buang sampah ke dalam longkang atau mana-mana tempat sebelum ia masuk ke Sungai Skudai.
“Kalau kita tidak jaga kebersihan dengan sampah macam ini bagaimana kita nak tarik pelancong dan pelabur, oleh itu kita perlu tunjukkan peningkatan tahap kesedaran dalam aspek penjagaan kebersihan, itu penting.
“Kita tidak paksa semua orang buat gotong royong tetapi kesedaran agar jangan buang sampah merata-rata dan gunakan tong sampah yang sudah disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” jelasnya. -KOSMO! ONLINE