ISKANDAR PUTERI – Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan skuad Tok Gajah 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Keputusan tersebut sekali gus melebarkan rekod kemenangan skuad Harimau Selatan kepada 12 perlawanan berturut-turut manakala meletakkan noktah buat rekod tanpa kalah pasukan Sri Pahang FC (SPFC).
Biarpun mendominasi permainan, skuad kendalian Esteban Solari dilihat buntu untuk membuka jaringan setelah pasukan pelawat bertahan dengan baik.
Sri Pahang yang turun tanpa kelibat Izham Tarmizi Roslan, Syazwan Andik Ishak dan Azrif Nasrulhaq dilihat berjaya mengekang kemaraan Harimau Selatan yang giat melancarkan serangan memburu gol awal.
Ketika permainan babak pertama hampir tamat, benteng ampuh skuad Fandi Ahmad akhirnya bolos jua menerusi jaringan Bergson pada penghujung separuh masa pertama.
Gol kedua yang diburu pasukan tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-74 hasil jaringan cantik Forestieri yang membuat sepakan lencong dari luar kotak penalti melepasi jangkauan penjaga gol Sri Pahang.-KOSMO! ONLINE.