PUTRAJAYA – Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat tiba di TU Teaching Hospital, Kathmandu, Nepal kira-kira pukul 4.30 petang (waktu tempatan), hari ini.
Kementerian Luar menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, jenazah akan melalui proses bedah siasat dan urusan dokumentasi.
Menurutnya, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Fadzle Abu Hasan berada di hospital untuk menyambut ketibaan jenazah serta membantu melancarkan proses pengurusan jenazah.
“Proses bedah siasat dan urusan dokumentasi dijangka akan mengambil masa selama dua hari.
“Jika semua proses berjalan lancar, jenazah dijangka tiba di tanah air selewat-lewatnya pada hari Sabtu ini,” katanya.
Dalam pada itu, kementerian juga ingin memaklumkan bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pendaki, Muhammad Hawari Hashim masih sedang dijalankan oleh pihak pasukan penyelamat tempatan.
Katanya, Kerajaan Malaysia juga telah mengumumkan sumbangan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi misi mencari dan menyelamat itu.
“Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya,” katanya.
Difahamkan, lebih kurang 96 jam atau sekitar empat hari yang masih tinggal bagi misi SAR Muhammad Hawari selepas hilang sejak Jumaat lalu.
Jika Muhammad Hawari masih gagal ditemui sehingga 28 Mei ini, maka misi SAR terpaksa dihentikan dan operasi mencari jasadnya mungkin akan diteruskan bagi musim pendakian tahun depan.
Pihak berkuasa Nepal sebelum ini memaklumkan, musim aktiviti pendakian ke Gunung Everest akan berakhir Jumaat ini.
Difahamkan juga, satu sidang akhbar akan dilakukan sekretariat ME2023 dari Nepal pada 29 Mei ini bagi memaklumkan situasi dan perkembangan semasa SAR berkenaan.- KOSMO! ONLINE.