KUALA LUMPUR – Air mata perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei gugur di Arena Axiata, Bukit Jalil apabila tersingkir di pusingan pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters hari ini.
Bekas juara remaja dunia dua kali itu ditunjuk keluar pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 500 itu apabila tewas 17-21, 21-17, 15-21 kepada pemain Jerman, Yvonne Li dalam tempoh lebih sejam.
Hampir 10 minit diperlukan untuk menenangkan Jin Wei sehingga jurulatihnya, Nova Armada terpaksa dipanggil memandangkan dia dilihat terlalu kecewa sebaik tewas kepada Li.
“Saya sedih kerana keadaan saya seperti ini. Saya marah dengan diri sendiri kerana tidak menjaga kondisi,” katanya yang mungkin tidak beraksi pada Terbuka Thailand minggu depan.
Pada masa sama, pemain berusia 23 tahun itu menjelaskan, dia tidak berada pada kecergasan terbaik kerana baru sahaja pulang daripada saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China Isnin lalu.
“Saya rasa saya tidak melakukannya (pemulihan kecergasan) dengan baik. Ini kerana saya perlu melakukan fisioterapi di luar (swasta) setiap hari tetapi saya tidak mempunyai servis sokongan.
“Bagi seorang pemain elit, kami perlu pergi ke fisioterapi setiap minggu. Saya berharap dapat disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG). Walaupun ada kriteria (yang ditetapkan) saya harap dapat disenaraikan dan boleh menggunakan fasiliti mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE