PETALING JAYA – Tune Protect Group menerusi anak syarikat milik penuhnya, Tune Protect Life (TPL) dan Tune Protect Malaysia (TPM) melancarkan penyelesaian insurans inovatif secara digital buat pelanggan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
TPL memperkenalkan insurans kakitangan pertama seumpamanya di pasaran yang membolehkan majikan dan pemilik perniagaan membeli insurans nyawa atau kesihatan/perubatan buat pekerja mereka.
Sementara TPM pula melancarkan laman web mikro buat PMKS yang merupakan platform sehenti buat perniagaan mendapatkan penyelesaian insurans yang disesuaikan untuk mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, Rohit Nambiar berkata, platform digital mampu memberikan akses lebih baik buat PMKS untuk mendapatkan insurans bagi melindungi perniagaan dan kakitangan mereka berbanding pengedaran insurans secara konvensional.
“Tiga cabaran utama bagi PMKS dalam pengambilan insurans adalah dari segi premium yang tinggi, penyelesaian insurans yang terlalu kompleks dan tidak sesuai bagi perniagaan mereka serta ketiadaan model yang sesuai bagi penyedia insurans untuk mendekati mereka.
“Objektif kami tidak hanya meningkatkan kadar penembusan insurans dalam kalangan golongan PMKS, tetapi juga memberi kesedaran kepada mereka tentang kepentingan insurans dan akses yang disediakan,” katanya dalam majlis pelancaran di sini semalam.
Menurut Rohit, buat masa ini, sektor PMKS mewakili sekitar lapan hingga sembilan peratus daripada perniagaan Tune Protect dan sasaran jangka panjang Kumpulan adalah meningkatkan sumbangan sektor berkenaan kepada 20 peratus. -KOSMO!ONLINE